Ahad, 27 September 2009
Sistem Barter meriahkan Raya Kg. Darau, Menggatal
Menggatal: Mungkin masyarakat tempatan di Sabah tidak menyedari akan kewujudan Sistem Barter yang agak sinonim di kalangan penduduk Kg. Darau, Menggatal iaitu kira-kira 10 Kilometer perjalanan dari Bandaraya Kota Kinabalu. Budaya masyarakat tempatan di kampung ini yang majoritinya kaum Bajau Sama telah berlarutan sejak zaman berzaman dan masih diamalkan oleh generasi masa kini. Apa yang uniknya, setiap kali pagi syawal masyarakat kadazan-dusun yang datangnya dari beberapa daerah di Sabah seperti Tambunan, Ranau, Kota Marudu dan Tamparuli bertandang ke Kampung Darau semata-mata ingin menukarkan hasil pertanian mereka khususnya pelbagai jenis sayur-sayuran dan buah-buahan dengan kuih-muih tradisional yang kebanyakannya hanya dapat dinikmati setiap kali menjelang perayaan Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Haji. Bagi penduduk kampung ini, sambutan Hari Lebaran tidak boleh dipisahkan dengan tamu unik yang menggunakan Sistem Barter di pengunjung mereka yang beragama bukan Islam ke kampung mereka semata-mata untuk menukar hasil pertanian mereka dengan kuih-muih penduduk kampung tersebut.Kuih Cincin, penjaram, sarang semut dan pelbagai jenis biskut raya merupakan antara kuih tukaran yang sangat popular di kalangan pengunjung yang datang dari beberapa daerah utama di negeri ini. Keunikan dan kemeriahan suasana tamu pagi syawal bukan sahaja menonjolkan keunikan budaya dan adat resam masyarakat tempatan di Sabah malah mampu menonjolkan perpaduan dan kerukunan rakyat berbilang kaum dan bangsa yang saling faham-memahami di antara satu sama lain.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan